Kadang-kadang,
ragam dunia membuatkan dada kita lemas dan terasa sesak walaupun pada
hakikatnya, kita masih bernafas. Kadang-kadang, ragam manusia sekeliling kita
menjadikan kita rimas oleh desakan-desakan yang menyuruh kita melalaikan diri
dan menjauh dari Yang Maha Esa. Kadang-kadang, suasana dunia sering memerangkap
dan memenjara nurani kita yang berfitrahkan kebaikan bertukar kepada keburukan
dan kejahatan.
Kadang-kadang, ragam alam maya menjadikan kita mangsa
tipu daya untuk kita mempercayai apa-apa saja sumber yang berjaya dikorek,
direka serta ditokok tambah di alam penuh global ini. Jahilnya kita! Zalimnya
kita!
Kadang-kadang, kehidupan menjadikan kita lebih kuat dan
luar biasa untuk terus berjuang hadapi hidup di masa hadapan. Kadang-kadang,
kehidupan yang sama ini juga menjatuhkan semangat kita dan menghalakan jiwa
kita ke arah untuk berputus asa. Lemahnya kita! Lembiknya kita!
Bila ujian dan dugaan bertandang, jiwa mula resah. Hati
pula sibuk rasa gelisah. Diri juga semakin menggelabah. Kenapa ya? Lupakah kita
pada Allah?? Lupakah kita pada ganjaran Jannah?? Lupakah kita pada erti sebuah
tabah?? Lupakah kita bahawa ketenangan itu ada pada Allah??
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka
menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat
Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah Al-Ra’d : 28)
Bila kita ditimpa ujian demi ujian yang bertali arus,
diri mula terasa lemas. Ingin berputus asa dari bergantung harap pada-Nya. Rasa
ingin mati secepat yang mungkin walaupun amalan tak setinggi gunung. Kenapa
mesti rasa begitu ya? Lupakah kita bahawa Allah itu sentiasa ada bersama kita??
Lupakah kita bahawa Allah terlalu sayangkan kita??
Sa’ad bin Abi Waqqas berkata : “Aku bertanya kepada
Rasulullah s.a.w. ; ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan
cubaannya?’ Nabi s.a.w. menjawab ; ‘Para Nabi, kemudian yang meniru
(menyerupai) mereka. Seseorang diuji mengikut kadar agamanya. Kalau agamanya
nipis (lemah) dia diuji sesuai dengan itu (ringan) dan apabila imannya kukuh
diuji sesuai dengan itu (keras). Seseorang diuji terus-menerus sehingga dia
berjalan di muka bumi, bersih daripada dosa-dosa.’” (Riwayat Bukhari)
Bila insan kecintaan kita seperti ibu bapa, suami
isteri, anak-anak, sahabat dan para guru pergi meninggalkan kita untuk
selama-lamanya, kita terus dibelenggu sedih. Kecewa berpanjangan dan muram
terhadap setiap keadaan. Kenapa begitu ya? Lupakah kita pada ujian Nabi
terdahulu yang lebih dahsyat lagi dugaannya?? Lupakah kita bahawa setiap yang
bernyawa pasti akan merasai mati?? Lupakah kita bahawa dunia ini hanya
sementara??
“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah
suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan
seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikit pun. Sesungguhnya
janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia
memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (setan) memperdayakan kamu dalam
(menaati) Allah.” (Surah Luqman : 33)
Di mana ketabahanmu saat dugaan menyapa jiwamu? Di mana
sabarmu tika ujian melanda atmamu? Di mana kekuatanmu saat ombak derita cuba
menghanyutkanmu dalam rendaman air mata semata-mata? Di mana kebergantunganmu
pada Allah saat dunia mula menutup mata hatimu?
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar
dan (mengerjakan) salat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,” (Surah Al-Baqarah : 45)
Bila hati resah dan gelisah, ingatlah, kita punya Allah…
Bila jiwa mula bergelora dengan gundah-gulana, jangan
kita lupa, Allah selalu ada…
Bila diri mula dihimpit rasa duka, ingatlah, kita ada
Allah…
Bila dada terasa lemas dan sesak dengan asakan cinta
dunia, ingatlah, Allah matlamat utama kita..
Jangan hanya di waktu susah kita mengingati-Nya..
Tapi, di waktu senang juga, jangan sesekali
lupakan-Nya..
Susah senang diiringi dengan ingatan hanya pada-Nya..
Suka duka bersama-Nya..
Sabarlah kerana Allah..
Redalah dengan segala rencana Allah..
Syukurlah dengan segala aturan-Nya untuk kita..
Insya-Allah..
Mukmin yang kuat itu tidak ada dalam kamus hidupnya erti
‘putus asa’..!
Little Mashitah
Rumah...
Life Is Searching For Mardhotillah..
0 comment:
Catat Ulasan