.

.

Pengikut

Kita Sudah Terlewat


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
Kali ini saya nak kongsi artikel yang diambil dari Cikgu Azmi Bahari (Murobbi ku di MATRI)...
hayati la....
Adakah kita sudah mula merasakan bahang kehangatan Ramadhan. Bulan rahmah, bulan keberkatan, musim ibadah dan bulan menuai taqwa untuk jiwa-jiwa yang meyakini hari pertemuannya dengan Allah SWT. Sekiranya kita baru merasakan bahang kehangatannya maka kita sudah agak terlewat namun masih banyak kesempatan. Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat bersiap-siap untuk menyambut ketibaan bulan rahmah ini ketika mula menjejak bulan Rejab lagi. Mereka memperbanyakkan puasa dan amalan soleh agar Ramadhan yang bakal tiba itu tidak sia-sia begitu sahaja.

Rugi dan meranalah orang yang menjumpai Ramadhan sedang dosanya belum diampuni



Ya, rugilah sesiapa yang biarkan Ramadhan itu berlalu begitu sahaja tanpa pertambahan amal dan mendapat pengampunan Allah SWT. Sekaranglah masanya untuk kita mempersiapkan bulan anugerah Allah ini. Semoga kita benar-benar dapat menuai buah taqwa. Sekaranglah masa untuk kita persiapkan diri kita bahkan masa untuk kita mengulangkaji kelebihan bahkan amalan manakah yang bertepatan sunnah Rasulullah SAW. Rejab mungkin telah berlalu tetapi Sya'ban masi belum melabuhkan tirainya.


Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;

كَانَ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَصُومُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَاماً فِي شَعْبَانَ

“Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Usamah bin Zaid r.a. menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, mengapakah aku tidak melihat kamu banyak berpuasa di bulan-bulan lain sebagaimana kamu berpuasa di bulan Sya’ban’. Jawab Rasulullah; ‘Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa”. (Riwayat Imam an-Nasai)

Namun demikian, bagi orang yang tidak berpuasa langsung di awal Sya’ban (yakni dalam masa 15 hari awal Sya’ban), maka ia dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban (yakni pertengahan Sya’ban). Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;

إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا

“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulama’, hadis ini merujuk kepada orang yang tidak berpuasa di bahagian awal Sya’ban sekalipun pada 15 Sya’ban (yakni hari nisfu Sya’ban) atau orang yang sengaja memilih hari-hari di hujung Sya’ban untuk berpuasa, bukan kerana puasa itu berkebetulan dengan kebiasaannya (seperti puasa Isnin dan Kamis atau puasa selang sehari) atau bukan kerana puasa Qadha’, Nazar dan Kafarah. Maka mereka dilarang berpuasa selepas bulan Sya’ban menjangkau pertengahannya. Adapun jika mereka telah memulai puasa sebelumnya sekurang-kurangnya berpuasa pada hari nisfu Sya’ban, maka harus untuk mereka meneruskan puasa selepas nisfu Sya’ban.

Secara amnya –menurut ulama’- berpuasa selepas nisfu Sya’ban (kecuali dengan syarat-syarat yang disebutkan tadi) hukumnya adalah makruh. Namun hukum ini berubah kepada haram apabila Sya’ban masih tinggal sehari atau dua hari lagi sebelum Ramadhan, terutamanya yaumu asy-Syak (hari ragu iaitu hari 30 Sya’ban apabila orang ramai bercakap-cakap bahawa anak bulan kelihatan, namun tidak ada saksi yang mengukuhkannya). Menurut ulama’ mazhab Syafi’ie, berpuasa pada hari Syak hukumnya haram sama ada dengan niat puasa Ramadhan (kerana berhati-hati) atau puasa sunat. Namun dikecualikan bagi orang yang mempunyai kebiasaan berpuasa dan hari Syak itu jatuh pada hari ia berpuasa atau orang yang meneruskan puasa Sya’ban yang ia mulai sebelum bulan Sya’ban menjangkau pertengahannya, maka haruslah bagi mereka puasa pada hari-hari tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w.;

لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Berkata sahabat Nabi s.a.w. ‘Ammar bin Yasir r.a.;

من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ

“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Begitu juga, dikecualikan jika puasa itu dikerjakan kerana ada sesuatu sebab seperti puasa Nazar atau puasa Qadha’, maka sahlah puasa dan tidak diharamkan puasa pada hari Syak itu.

(Rujukan mengenai puasa Sya’ban di atas; at-Tajul Jami’ lil-Ushul, Matn al-Ghayah wa at-Taqrieb (tahqiq dan ta’liq oleh Syeikh Majid al-Hamawi), Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 585, dan al-Fiqh al-Manhaji)

Mengenai kelebihan malam nisfu Sya’ban (yakni malam ke 15 Sya’ban), terdapat hadis di mana Rasulullah bersabda;

يَطَّلِعُ اللهُ عز وجل عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النـِّصْفِ مِنْ شَعْبَاْن فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاْحِنٍ

Pada malam nisfu Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya, lalu Ia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara seagama”. (Riwayat Imam at-Thabrani dan Ibnu Hibban dari Mu’az bin Jabal r.a.)

Ayuh kita manfaatkan kesempatan yang masih kita miliki.

SEARCHING FOR MARDHOTILLAH..
Little Mashitah..

0 comment:

Translate

Terdapat ralat dalam alat ini
Dikuasakan oleh Blogger.
 
..::Little Mashitah::.. Blog Design by Ipietoon