.

.

Pengikut

Sudah terpikat dengan wajah itu..

http://lautanrabbani.blogspot.com



Wajah oh wajah. Andai kamu cantik, pasti akulah orang yang paling bahagia. Wajah-oh wajah. Andai kamu hensem, pasti akulah orang yang paling bertuah. Benarkah ia dinilai dari sudut itu?

Wah-wah. Kalau begitu, teramat rugilah orang yang hodoh dan tidak memenuhi ciri-ciri kecantikan dan ketampanan. Yadak?

Hari ini saya ingin membawa anda semua untuk kita selami satu perkara. Saya yakin bahawa ia sangat berkaitan dengan anda dan juga saya. Bersedia? Jom..

Perasankah kita bahawa persepsi kita terhadap orang yang kita temui bergantung kepada wajahnya. Namun, tidak bermakna bahawa orang yang cantik baik amalannya. Tidak bermakna pula orang yang hensem suci hatinya. Tidak bermakna juga orang yang cacat pada wajahnya selekeh peribadi dan pekertinya.

Walaupun wajah manusia ini memang berbeza daripada rupa paras tetapi perasaan kepada seseorang itu lahir dari dalam sanubari kita. Apabila bertemu dengan seseorang, kita akan membuat penilaian menerusi perasaan kita terhadapnya seperti suka, rasa mesra, segan silu, manis, lembut, ayu, sombong dan sebagainya. Apakah yang akan mempengaruhi perasaan kita terhadap seseorang itu?

Bagaimana ingin mendapatkan wajah yang menyenangkan?


Aha. Sejuk mata yang memandang. Ceria diri yang bertandang. Adakah ia boleh dibuat-buat? Contoh mudah yang boleh saya bawakan, bilamana kita bertemu dengan seseorang yang bergelar ulama', automatik kita akan kata wajah mereka ini lembut, berseri, indah dan jernih. Saya tidak tahulah kalau ada juga dalam kalangan kita yang berkata mereka ini berwajah seperti biasa atau lebih teruk.

Soalnya sekarang. Bagaimana untuk mendapatkan wajah yang menyenangkan hati orang yang melihat kita? Perlukan penawar herbakah? Perlukan pembedahan plastikkah? Atau susukkah?

Niat yang Ikhlas


Ya. Niat yang ikhlas. Sebagai langkah mula. Ia adalah pertama dan utama yang perlu kita teropong secara mendalam. Ala.. Macam kita berblog juga.. Macammana nak menjadikan amalan berblog ini bermanfaat kepada kehidupan insani juga diterima sebagai amal soleh? Semestinya yang terawal adalah niat yang terang-benderang keranaNya.

Apabila kita menyentuh soal niat yang ikhlas maka tidak lain dan tidak bukan apa yang kita mahu adalah ganjaran pahala daripada Allah. Agar apa yang dilakukan tidak menjadi debu-debu yang berterbangan dibawa deruan angin takabbur, ria', ujub dan sepenampilan dengannya.

Secara saintifik juga, orang yang berniat baik ini akan mengeluarkan tenaga dalaman berbentuk positif yang terpancar melalui getaran atau gelombang yang hanya dirasai dengan gerak hati atau intuisi. Kesannya, wajah orang yang positif ini dirasakan menarik, bersih, manis dan sebagainya. Orang yang mendampinginya akan merasai aura itu. Oleh sebab itu, jagalah niat kita apabila bertemu dengan seseorang - nasihat untuk diri. (",)

Senyum-senyum


" Senyumlah. Senyumlah. Alahai cik mek molek.. " Dipetik dari lagu...

Senyuman juga tidak kurang pentingnya. Sebab itulah senyuman yang tulus ikhlas dapat menghangatkan jiwa yang dahagakan belaian kasih sayang bahkan menyejukkan gelora jiwa yang dirunsing seribu satu masalah. Ia boleh menjadi penawar dan ibadah malah turut menceriakan wajah kita.

Senyuman juga mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Mengikut kajian, orang yang selalu senyum akan mengeluarkan endorphin dalam badan yang mampu menimbulkan rasa lega, selesa dan ceria. Lalu, impak dari senyuman ini akan memancarkan rasa gembira kepada orang yang melihatnya.

Bahkan senyuman yang ikhlas akan meresap kemas ke dalam kalbu yang paling dalam. Senyumlah. (",)

Wajah ceria


Pertamanya kita kena tahu bahawa keceriaan adalah anugerah Allah yang tidak terhingga kepada kita. Ia berpunca dari lubuk hati yang putih, suci dan bersih. Maka rasa senang dan bahagia bisa menimbulkan rasa ceria yang mana sejenis citarasa yang tidak mampu dibuat-buat.

Ia merupakan satu kebaikan yang perlu diambil perhatian sebagaimana sabda nabi :

"Janganlah kamu memandang remeh terhadap segala kebaikan, walaupun hanya sekadar kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria." - Riwayat Muslim

Kita juga begitu bukan? Suka akan manusia-manusia yang berada disekeliling kita sentiasa berwajah ceria. Atau anda suka dengan wajah orang yang sentiasa dalam keadaan masam, kelat dan sepuluh sen?

Maka, kita juga haruslah berwajah ceria. (",)

Tutur kata yang menyenangkan


Begini. Menjadi lumrah kepada kita sebagai manusia normal yang ada naluri lapar, dahaga, mengantuk, cinta dan bermacam-macam lagi naluri, suka akan kata-kata yang menyenangkan. Maksudnya kata-kata yang berbaur pujian, penghargaan, harapan, sokongan dan yang mendatangkan kebaikan. Kerana apa?

Kerana semua itu sedikit sebanyak mampu memotivasikan kita. Tetapi jangan disalah erti ya teman-teman. Bukan bermakna 'memotivasikan' itu hanya berpusing dalam serampang pujian, penghargaan, harapan dan sokongan sahaja. Kritikan, komen, teguran dan nasihat juga adalah serampang untuk 'memotivasikan' juga.

Apapun biarlah semuanya dilafazkan dengan tutur kata yang menyenangkan. Barulah dikatakan serampang dua mata dengan tujuan untuk mengembalikan kesedaran orang yang mendengar.

Akhirnya, mereka juga dengan senang hati mendengar pujian dan kritikan kita. Itulah yang dikatakan ucapan yang baik mampu memikat hati orang yang mendengar. Beruntungnya orang yang pandai berkata-kata ni ya. Dengan kata lain 'pandai perayat'. Nasihatnya perayatlah kerana Allah. ^^

Oleh sebab itu, orang yang hebat ialah orang yang dapat mengeluarkan kata-kata yang menyenangkan. Agak-agak kata-kata kita bagaimana ya? (",)

Penampilan yang menarik dan sederhana


Rata-rata daripada kita banyak yang tidak sedar akan hal ini. Yang kita tahu adalah sempoi, moden dan berstyle. Menarik dan sederhana? hanya dipandang sebelah mata. Itu pun acuh tak acuh. Kesian.

Sebenarnya, persepsi orang yang melihat kita banyak bergantung kepada pakaian kita kerana 95% daripada badan orang Muslim diliputi oleh pakaian. Jadi, identiti seseorang banyak bergantung pada cara mereka berpakaian.

Cuba kita buat perbandingan pakaian seorang korporat dengan seorang imam masjid. Pakaian seorang chef masakan di hotel lima bintang dengan penjual burger di tepi jalan. Tentunya jelas kepada kita bahawa pakaian jelas mempengaruhi nilai pandang orang terhadap kita. Manusia sangat suka dan senang kepada kecantikan.
Apatah lagi harum dan wangi.

Oleh sebab itu, pilihlah pakaian yang menarik yang sesuai dengan keadaan dan suasana tempat yang kita kunjungi. Tetapi ingat - syara' mesti di hadapan.

Akhir : Harus kita usaha untuk mendapatkannya.

Untuk apa kita ingin wajah yang menyenangkan orang yang melihat kita? Untuk apa kita sedaya upaya untuk mencuba dan beramal dengan kaedah yang sedemikian rupa? Untuk apa? Untuk tunjuk kepada manusia yang kita ini ada wajah yang menyenangkan? Untuk menjadi orang yang disayangi rakan-rakan sekeliling? Untuk tarik perhatian orang yang kita cinta? Atau untuk kebaikan semua terutamanya islam?

Setelah kita terbang tinggi ke angkasa, sedarlah apabila kita mengajukan soalan-soalan ini mahu atau tidak kita kena pulang ke lubuk hati yang dalam. Tanyalah ia pada hati. Apakah tujuan semua ini? Hanya suka-suka? Hanya ingin mencuba? Di dalam hati itulah jawapannya.

Namun, di luar kesedaran andai hajat kita ini disulami dan diselimuti dengan rasa ingin memberi manfaat kepada islam apabila ada wajah yang menyenangkan, yakinlah satu hari nanti Allah pasti mengurniakan.

Buat teman-teman dan rakan-rakan seperjuangan, benarlah akan satu perkara yang wajah nabi kita bercahaya lebih terang dari bulan. Sungguh, wajah yang baik dan menyenangkan sedikit sebanyak mampu membantu menyelesaikan masalah sendiri mahupun orang lain tanpa kita sedari.

0 comment:

Translate

Terdapat ralat dalam alat ini
Dikuasakan oleh Blogger.
 
..::Little Mashitah::.. Blog Design by Ipietoon